top of page
  • Writer's pictureNihaba

Adly bakal calon Ketua Menteri-Ketua PKR Melaka

1 November


MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari adalah individu terbaik untuk memimpin Melaka, menurut Ketua PKR Melaka Halim Bachik, yang merujuk prestasi Adly ketika memegang jawatan itu selama 22 bulan sebelum ini.


Dalam wawancara dengan FMT, Halim berkata, Adly menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang tempoh perkhidmatannya yang singkat.


Naib Presiden Amanah itu tambahnya, mendapat sokongan padu, baik daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mahupun di peringkat akar umbi.

“Pada dasarnya memang (bagi) kita, Adly adalah yang terbaik (jadi Ketua Menteri),” katanya.

Namun beliau menegaskan, pilihan Ketua Menteri oleh PH akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertingginya.


Halim yakin PH mampu mencapai kemenangan pada PRN kali ini, terutamanya apabila dijangka berlaku perpecahan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).


Kuncinya bagi PH kata beliau, adalah kerusi dengan undi campuran kerana pertelingkahan antara BN dan PN akan memecahkan undi Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kita berkeyakinan tinggi akan menang di kawasan yang ada undi campuran, lebih kurang dalam 18 kawasan. Tetapi kita takkan dapat kemenangan dengan mudah, kena kerja kuat. Kita kena tunjukkan muka.


Beliau menegaskan, menukar pentadbiran di DUN adalah langkah lebih baik berbanding mengadakan PRN, yang akan menelan kos RM46 juta.

Namun memandangkan PRN akan diadakan katanya, Melaka memerlukan pemimpin yang dapat menjaga kebajikan rakyat, terutamanya dari segi kesihatan dan ekonomi.

“Kalau kita fikirkan projek-projek mega tetapi (rakyat) di luar bandar ketinggalan, itu bagi saya, bukan kepimpinan yang bijak,” katanya.

“Kita nak pemimpin yang boleh jadi adil kepada semua kawasan, baik luar bandar mahupun bandar.

“Kita nak cari seorang pemimpin yang faham, yang tahu, yang rasa denyut nadi rakyat.”

bottom of page