top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

ADUN Negeri Sembilan perlu fokus bela kebajikan rakyat - Mohamad Hasan

7 September 2021

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan diingatkan untuk sentiasa fokus dan memberi keutamaan dalam urusan membela kebajikan rakyat, sekali gus berupaya membangunkan negeri meskipun berdepan keadaan rumit dan luar biasa akibat COVID-19.


ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun kini berhadapan dengan krisis sukar yang belum pernah dihadapi sebelum ini semasa menerajui negeri berkata semua berkata, semua wakil rakyat perlu bekerjasama mencari rumusan terbaik demi rakyat.


"Titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir ketika perasmian DUN begitu jelas agar ahli dewan ini dapat memastikan Negeri Sembilan keluar daripada krisis ini yang bukan sahaja dihadapi kita tetapi seluruh dunia.


"Alhamdulillah Negeri Sembilan telah menunjukkan penurunan kes COVID-19 jadi perlu kita pastikan ia berterusan dan jangan ambil sewenang-wenangnya dengan tidak lagi mengamalkan prosedur operasi standard apabila kes turun, kita mesti terus hati-hati," katanya ketika sesi perbahasan persidangan DUN Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.


Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata kerajaan negeri perlu menggunakan kaedah pengurusan krisis dalam menangani penularan COVID-19, lebih-lebih lagi hampir 50 peratus jangkitan wabak itu di negeri ini banyak berlaku di peringkat industri.


Sementara itu ADUN Chennah Anthony Loke Siew Fook mencadangkan kerajaan negeri supaya memberi kit kuarantin kendiri percuma kepada rakyat di negeri ini yang dijangkiti COVID-19 kategori satu dan dua, serta oximeter bagi memantau kadar oksigen semasa tempoh kuarantin.


"Usaha itu juga dapat membantu pesakit mengetahui tahap kesihatan diri supaya tidak menjadi serius dan mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID)," katanya.


Beliau turut memuji usaha semua pihak terutamanya petugas kesihatan di negeri ini yang bertungkus lumus merawat pesakit COVID-19 sehingga negeri ini beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dengan keberhasilan program vaksinasi serta pengurangan kes wabak itu.



-- BERNAMA

bottom of page