• newsatmy

Agensi pelancongan diingat jangan cuba beri khidmat balik kampung

5 Mei 2021

KANGAR: Pengendali agensi pelancongan diingat supaya tidak menyalah guna kebenaran gelembung perjalanan yang diberi kerajaan dengan memberi perkhidmatan kepada mereka yang ingin pulang berhari raya di kampung.


Ia merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), menurut Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Amar Abdul Ghapar.


Peringatan tersebut diberikan kerana kecenderungan orang ramai untuk balik ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada Khamis minggu hadapan.


Katanya, taktik ini mungkin akan digunakan memandangkan pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.


Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


"Ada juga yang kita dengar macam itu. Tetapi, kita sudah katakan selalu, biasanya cara tidak menghalalkan niat. Ia tanggungjawab sendiri sebenarnya.


"Walaupun memang ia merupakan satu kelebihan pada industri pelancongan," kata Amar kepada media selepas Sesi Ramah Mesra Industri Pelancongan dan Rakan Media Negeri Perlis di Kuala Perlis malam tadi.


Jelasnya lagi, terpulang kepada pengendali agensi pelancongan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menjalankan perkhidmatan mereka.


November tahun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan gelembung perjalanan domestik bagi negeri zon hijau di seluruh negara bagi merancakkan aktiviti dan sektor pelancongan domestik.


Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas MKN setuju dengan cadangan SOP Gelembung Perjalanan Domestik oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).


27 April lalu, kerajaan mengumumkan rentas negeri masih tidak dibenarkan memandangkan status kes COVID-19 di seluruh negara ketika ini menunjukkan trend tidak stabil dan nilai R-Naught meningkat melepasi angka 1.0 sejak 20 hari sebelumnya.


-Astro Awani