top of page
  • admin

Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261


KUALA LUMPUR 23 Feb: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara, hari ini.


Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini.


Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Nov lepas yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat ke mesyuarat itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tuanku Muhriz dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.


Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri sementara Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page