top of page
  • admin

Agong lawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara pagi ini


KUALA LUMPUR,6 Okt: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat tiba di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dekat Ampang, pagi ini.


Ketibaan baginda disambut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Dalam lawatan pagi ini, baginda dijadualkan mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara yang ketika ini sedang berada dalam peralihan monsun.


Taklimat itu akan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, bersama Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh.



Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Bercemar Duli Ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS Cawangan Ampang. - Foto Aswadi Alias


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Bercemar Duli Ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS Cawangan Ampang. - Foto Aswadi Alias


Namun, majlis taklimat pagi ini diadakan secara tertutup.


Lawatan baginda pagi ini, menarik perhatian seluruh negara kerana khabar angin mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin kuat diperkatakan.


Petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, dijadualkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada jam 4 petang.


Walaupun desakan supaya PRU-15 diadakan semakin kuat, namun ada pihak membantah cadangan pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat, berikutan kebimbangan terhadap banjir yang dijangka melanda ketika musim tengkujuh bermula November ini.


Langkah Seri Paduka melawat PRABN pagi ini, dilihat oleh pemerhati sebagai langkah baginda untuk mendengar sendiri laporan secara terus daripada kumpulan pakar yang berurusan secara langsung dengan perkembangan cuaca dan bencana negara.


Sinar Harian

bottom of page