top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ahamd Faizal Beri Bayangan Kekalkan Kerusi Parlimen Tambun

4 Oktober 2021

IPOH: Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan akan terus kekal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Beliau berkata fokus utama pada ketika ini adalah untuk memperkemaskan lagi gerak kerja di Parlimen tersebut, memandangkan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, secara terbuka telah mengumumkan untuk menentang beliau pada PRU-15.


“Yang pentingnya sekarang ini, saya ada jawatan dan tanggungjawab untuk dilaksanakan. Harapan di masa akan datang saya boleh terus menabur bakti,” katanya pada sidang media selepas menziarahi sebuah keluarga yang memerlukan bantuan rumah di Kampung Manjoi, di sini hari ini.


Pada 25 Sept lalu, Farhash Wafa menegaskan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada PRU15.


Dalam kenyataan sama, beliau turut berhasrat untuk bertanding dikerusi yang ditandingi nama-nama besar termasuk Ahmad Faizal.


Selain itu, Ahmad Faizal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata beliau juga akan memberi fokus kepada DUN yang ditandingi sebelum ini, ekoran masih terdapat banyak masalah terutama daripada sudut pembangunan.


“Masalah ini akan diperhalusi dan diatasi dengan sebaiknya, dan saya fikir gerak kerja daripada semua komponen Perikatan Nasional (PN) yang sedia ada sekarang ini akan bersama membantu,” katanya.

bottom of page