top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ahli Parlimen GPS sokong Kerajaan Perikatan Nasional - Alexander

8 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan media pada Sabtu.


Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perjumpaan khas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS di Kuching hari ini.


"GPS juga menjunjung titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.


"GPS menyifatkan keputusan Y.A.B. Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan Perlembagaan," jelasnya dalam kenyataan itu.


Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN sokong Kerajaan PN


Dalam pada itu tambahnya, GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 hanya menimbulkan kegelisahan rakyat.


Justeru, keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihakan ekonomi negeri dan negara.


"GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing, sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan," jelasnya lagi.



--PN Online

bottom of page