• Arissa Azman

Ahli Parlimen Kapit zahir sokongan kepada Muhyiddin, Kerajaan PN

5 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan pendirian akan terus mendukung Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, ini bagi melaksanakan pelbagai program Pelan Pemulihan Negara demi memastikan kehidupan rakyat, kebajikan pengguna dan peniaga dapat terus dijaga.


Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga menyatakan, KPDNHEP akan terus bekerja bersama kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara.


"Selagi tanggungjawab ini diamanahkan, seluruh jentera Kementerian akan terus menjalankan tugas dengan komited, meskipun kita berhadapan situasi sukar di dalam negara," kata Ahli Parlimen Kapit itu.


Pada Rabu, Muhyiddin menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membawa usul undi percaya terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentangkan di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang bulan depan.


Usul itu untuk menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan.



--AWANI