• Arissa

Ahli Parlimen UMNO dalam PN masih ada ruang dalam parti - Khaled Nordin

15 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen UMNO di dalam Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai ruang dalam parti itu meskipun keputusan yang diambil bertentangan dengan keputusan parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Dalam muat naik di Facebook pada Ahad beliau turut mengakui keputusan UMNO menarik balik sokongan dan keluar dari PN memberi kesan kepada kerajaan dan keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Namun parti itu katanya turut berdepan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan yang dibuat itu.


"Pastinya keputusan sebesar dan sepenting ini mempunyai risiko dan geloranya. Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut.


"Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti," katanya.


Tambahnya, UMNO mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu dan bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.


"Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa PM dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada.


"Maka, UMNO mesti kembali bersatu hati. Kepada semua Ahli Parlimen UMNO di dalam PN, ruang dan tempat kalian dalam parti tidak pernah hilang.


"Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua," katanya lagi.


Tegasnya, PN tidak lebih sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara.


Sokongan diberikan apabila wujud kebaikan yang jelas, namun disanggah parti itu apabila sudah gagal dan tidak berada di landasan yang betul.


Namun UMNO kata Mohamed Khaled lagi, tidak hanya hidup untuk hari ini, sebaliknya melihat masa depan dan perlu segera membuka lembaran baharu lebih penting.


[INFOGRAFIK] Kedudukan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Setakat 12 Ogos 2021)

Ketika ini jelasnya, keutamaan parti itu adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan UMNO dalam PRU-15.


"Untuk melakukan perkara ini, UMNO mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli-ahli Parlimen.


"Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul," jelas Naib Presiden UMNO itu lagi.



--AWANI