• newsatmy

‘Ahli Parlimen UMNO tak akan berpaling tadah’

23 April 2021

SHAH ALAM- Kesemua ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini adalah terdiri daripada die hard (penyokong setia) parti dan tidak akan sesekali berpaling tadah.


Demikian penjelasan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii bagi mengulas kenyataan satu sumber ahli MKT parti itu yang menjangkakan sejumlah 38 daripada 41 ahli Parlimen BN bersedia untuk melangkaui arahan parti bagi meneruskan sokongan kepada kerajaan PN sekiranya diperlukan.


Pada Selasa, sumber UMNO itu menegaskan kuasa yang menentukan sama ada UMNO bakal menarik sepenuhnya sokongan parti itu daripada kerajaan PN terletak di tangan ahli-ahli Parlimennya dan bukan keputusan pucuk kepimpinan parti.


Sumber MKT UMNO yang juga salah seorang ahli Parlimen BN itu berkata demikian bagi menjawab desas-desus sama ada UMNO bakal memuktamadkan tarikh penarikan sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN melalui mesyuarat MKT parti yang dijangka diadakan pada 25 April ini.


Dalam pada itu, Razlan berkata, meskipun banyak instrumen atau kaedah digunakan pelbagai pihak bagi melaga-lagakan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan kepimpinan parti ketika ini, beliau yakin setiap ahli Parlimen UMNO akan terus setia bersama parti.


Katanya, mana-mana ahli Parlimen UMNO dan BN yang tidak melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah terdiri mereka yang lebih menyayangi parti berbanding dengan jawatan dalam kerajaan PN.


“Lagipun, usul bertulis yang diedarkan dan dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah mengenai ketetapan parti tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, dengan ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus kekal menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen terbubar.


“Justeru, saya yakin tiada isu parti akan mendesak ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menarik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN selagi Parlimen belum terbubar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.


Mesyuarat MKT UMNO yang akan diadakan pada 25 April di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur adalah mesyuarat pertama parti itu selepas PAU 2020 pada hujung bulan lepas.


Selain teka-teki penentuan tempoh hayat kerajaan PN, keputusan sama ada pemilihan UMNO diadakan seperti dijadual atau ditangguhkan dijangka turut dibincangkan dalam mesyuarat pada Ahad ini.


Di sebalik keyakinan ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus setia menyokong keputusan MKT, Razlan berpandangan mesyuarat MKT kali ini seharusnya memfokuskan kepada persediaan UMNO dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun ini.


Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menunaikan janji untuk mengadakan PRU15 sejurus tamatnya tempoh proklamasi darurat yang akan berakhir pada 31 Julai ini.


“Mengenai persoalan sama ada pemilihan UMNO wajar diadakan mengikut jadual atau ditangguhkan, perkara itu juga sudah pasti dibincangkan dalam mesyuarat MKT nanti.


“Penentuan tarikh pemilihan UMNO terpulang kepada alasan diberikan parti.


“DAP sebelum ini boleh menangguhkan pemilihan parti itu selama enam bulan atas budi bicara Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) setelah kes Covid-19 kembali meningkat.


“Kena lihat situasi kes jangkitan Covid-19 juga. Kalau ROS tidak benarkan proses pemilihan diadakan, bagaimana kita hendak laksanakannya? Kalau PRU15 diadakan selepas bulan Ogos, takkan parti mahu dahulukan pemilihan UMNO pula. Kena lihat semua sudut,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula berpandangan, inti pati mesyuarat MKT pada Ahad ini dijangka lebih tertumpu kepada persoalan bila pemilihan parti wajar diadakan dan bagaimana UMNO mahu meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN.


Jelas beliau, walaupun usul UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN sudah diluluskan dalam PAU 2020, namun sekiranya perkara itu dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat MKT, semua ahli badan tertinggi UMNO akan melihatnya dari segenap sudut.


“Selain itu, saya masih berpegang pada prinsip bahawa proses pemilihan UMNO harus diteruskan jika keadaan Covid-19 kembali reda.


“Saya turut bersetuju dengan pandangan kerajaan PN perlu menyerahkan kembali mandat membentuk kerajaan baharu kepada rakyat selepas tempoh darurat tamat dan kes Covid-19 kembali melandai,” katanya.


-Astro Awani