top of page
  • zaman

Ahli perniagaan suka tandatangani MoU depan PM


KUALA LUMPUR 4 April: “Ahli perniagaan Malaysia melalui pengalaman kita, memang seronok untuk menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) di depan Perdana Menteri. “Mohon YB (Yang Berhormat) Tambun menyatakan tahap peringkat keyakinan terhadap 19 MoU yang akan diterjemahkan ke pelaburan sebenar,” kata Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.


Ketika sesi waktu pertanyaan menteri, beliau meminta Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memberi perincian mengenai sektor yang ditandatangani oleh ahli perniagaan Malaysia dan China ketika lawatan ke Beijing, baru-baru ini.


“Saya dimaklum tadi, disebutkan oleh YB Tambun, RM32 bilion untuk Geely Proton, RM80 bilion bagi industri kimia dan gas di Pengerang, baki ada lagi RM58 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, katanya: “Bilakah pelaburan berkenaan dapat dilaksanakan dan jumlah peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan menerusi pelaburan itu.”


Menjawab persoalan ini, Anwar berkata, semua 19 MoU bernilai RM170 bilion yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China akan dilaksanakan tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan.


Menurutnya, perkara itu diputuskan beliau bersama rakan sejawatnya, Li Qiang, bagi memastikan syarikat yang terbabit dapat memulakan pelaksanaan MoU berkenaan pada waktu yang ditetapkan.


Beliau berkata, sembilan cadangan lain untuk pemeteraian MoU tidak diterima kerana tidak mempunyai perancangan, khususnya untuk pelaksanaan mulai tahun ini atau selewat-lewatnya akhir tahun ini.


“Jadi, yang diputuskan ini adalah syarikat yang dipantau kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI ) terutamanya dan kerajaan China di bawah pengawasan Perdana Menteri, Li Qiang, iaitu syarikat melaksanakan akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

bottom of page