• Arissa

Ahmad Faizal tidak tolak kemungkinan MOM terajui sukan berprestasi tinggi

15 September 2021

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak kemungkinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diberikan tanggungjawab mengendalikan sukan berprestasi tinggi pada masa hadapan.


Beliau yang menegaskan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) kekal menggalas tanggungjawab itu buat masa ini, mengesahkan perkara itu berada pada tahap perbincangan bagi merealisasikan pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.


“Kerjasama akan ditingkatkan dengan semua badan sukan termasuk MOM dalam mencapai misi emas pertama Olimpik. Ia bukan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata, ia merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia.


“Dalam mencapai hasrat itu, kita perlu memberikan peranan lebih besar kepada MOM supaya peluang itu lebih cerah. Jadi KBS dan MSN akan cari jalan bagaimana berkongsi pengurusan dan latihan atlet kita dan sukan mana perlu kita beri tumpuan,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan ke Wisma OCM di sini, hari ini.


Beliau turut menuntut kerjasama semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam meletakkan pembangunan sukan sebagai keutamaan dan mengelakkan perpecahan dalam kepimpinan persatuan.


Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan lebih sejam bersama Lembaga Eksekutif MOM baharu yang mengadakan mesyuarat pertama hari ini, sebelum dibawa melawat galeri dan Dewan Kemasyhuran MOM.


Ahmad Faizal juga diberi pengenalan mengenai MOM, peranan MOM, Piagam MOM, Piagam Olimpik dan perkara-perkara berkaitan penganjuran temasya sukan, selain beliau turut berkongsi beberapa pandangan dan harapan daripada pihak kerajaan kepada badan induk sukan negara itu.


Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata bahawa hasrat MOM untuk mengendalikan sukan berprestasi tinggi yang dipertandingkan di Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028, antara perkara dibincangkan dengan Ahmad Faizal.


Menurut Mohd Nazifuddin, dengan adanya hubungan yang baik di peringkat antarabangsa, termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), MOM mampu membuat perancangan lebih baik dan memainkan peranan lebih besar seperti berjuang untuk memasukkan skuasy dan boling dalam acara Sukan Olimpik.


“Kita akan lihat semua sukan dipertandingkan pada setiap Olimpik dan akan rancang dari awal, contoh dalam satu kitaran Olimpik, rancang semua sukan yang ada peluang, termasuk sukan baharu seperti breakdancing (tarian breakdance), surfing (luncur air). Kita akan lihat secara keseluruhan dan di luar sukan-sukan yang kita selalu dapat pingat seperti badminton, berbasikal dan terjun.


Di peringkat dasar, kita tengah berbincang dulu, mengenai keupayaan dan pembiayaan akan diperincikan nanti kalau kita dibenarkan (untuk ambil alih),” katanya sambil menambah MSN akan kekal bertanggungjawab dalam pengendalian atlet ke Sukan Asia, Komanwel dan program akar umbi.