• newsatmy

Aizat kini di Los Angeles, tinjau peluang kembang kerjaya

23 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Selepas penyanyi terkenal, Yuna membina kerjaya di kota seni masyhur dunia, Los Angeles (LA), kini tiba giliran rakan seangkatannya, Aizat Amdan pula mahu meneroka peluang yang sama.


Nekad untuk mencuba nasib di pasaran antarabangsa mendorong Aizat bersendirian berkelana ke LA beberapa hari lalu.


Bersendirian ke sana, namun, tentu sekali rakannya, Yuna sudah sedia membantu untuk memberi panduan dan memperkenalkan Aizat kepada karyawan muzik Amerika Syarikat (AS).


Melalui abangnya, Anas Amdan, Astro AWANI dimaklumkan, Aizat sememangnya sudah lama menyimpan keinginan untuk membina nama di persada seni antarabangsa.


Dan LA, jelas Anas, merupakan pilihan yang ideal dan diyakini akan menawarkan peluang buat adiknya itu.


“Terima kasih kami buat Yuna kerana membuka jalan buat Aizat. Yuna banyak membantu dan memperkenalkan bakat seni Aizat buat karyawan muzik di LA.


“Semoga segala usaha dan ikhtiar Aizat akan membuahkan hasil buatnya,” kata Anas dalam temu bual bersama Astro AWANI.


Menurut Anas, untuk permulaan, kunjungan Aizat ke LA adalah untuk berkenalan dengan beberapa wakil industri muzik.


Selama sebulan di LA, Aizat juga, kata Anas, yang sudah menandatangani kontrak di bawah label Yuna Room Records akan merangka pelan kerjaya seninya dibantu oleh Yuna.


Sementara pengedaran lagu-lagu Aizat kelak adalah di bawah pengurusan Independent Co iaitu label yang sama dinaungi Yuna.


Dalam usaha menempatkan namanya dalam industri muzik antarabangsa, Aizat seperti yang diketahui ramai juga memperkenalkan identitinya sebagai Ai.Z.


“Panggilan komersial itu sebagai usaha kami memasarkan bakat seni Aizat di pasaran sana. Sebagai orang asing di LA, sudah tentu banyak aspek yang perlu diberi perhatian dan kami juga akan melihat apakah kesesuaian-kesesuaian lain yang boleh dipadankan dengan Aizat di sana kelak,” kata Anas yang juga akan berangkat ke LA sekitar dua minggu lagi bagi menemani adiknya di sana.


Kerjasama Aizat dan Yuna menjadi perhatian peminat-peminat muzik tanah air kerana kolaborasi itu disifatkan seiring dengan aspirasi muzik kedua-dua penyanyi masyhur itu.


Bercerita mengenai kerjasama itu, Anas berkata, segala-galanya bermula sekitar tahun lalu semasa Yuna berada di tanah air ketika pandemik COVID-19 mula menular.


Ketika memperoleh peluang bersemuka, Yuna dan Aizat bercerita mengenai soal keperluan adanya kerjasama bagi merancakkan industri muzik tanah air.


“Tanpa disedari, ketika mereka sering berjumpa dan berbincang pasal muzik di studio rakaman tahu-tahu saja lima buah lagu dicipta. Ini kali pertama Yuna menghasilkan lagu untuk penyanyi lelaki.


“Dan lagu The Last Thing merupakan single pertama yang dipasarkan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik menyebabkan Aizat semakin terdorong untuk mencuba nasib di LA,” cerita Anas lagi.


Sementara itu, untuk single kedua dalam bahasa Inggeris, Use Me, jelas Anas, akan dipasarkan di pelbagai platform digital pada 5 November ini.


“Insya-Allah sekiranya semua rancangan berjalan lancar, pada tahun depan (2022) Aizat akan berpindah ke LA dan merakamkan lagu di sana dan mula berkarya di sana,” kata Anas lagi.