top of page
  • zaman

Akar umbi parti PKR mula bertanyakan hal imbuhan.


PETALING JAYA 26 Feb: Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mendedahkan, wujud bibit-bibit dikalangan akar umbi parti itu mula bertanyakan hal imbuhan dan jawatan.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu memberi amaran kepada mana-mana pimpinan dan akar umbi parti supaya tidak menjadikan hal itu sebagai budaya dan barah dalam parti. Fahmi menegaskan budaya itu tidak pernah wujud dalam sejarah dan identiti PKR yang sejak sekian lama hanya memperjuangkan nasib rakyat, dan ia berisiko merosakkan parti jika ia tidak dihentikan. "Kita tak berjuang untuk jawatan, kita tak berjuang untuk 'ghanimah' (harta perang). Saya dengar ada bibit-bibit yang sebenarnya merosakkan perjuangan kita. 'Ada elaun tak, nak datang mesyuarat?' Jangan ada perkara seperti itu. "Itu bukan dalam DNA kita. Itu bukan dalam sejarah perjuangan kita. Jangan jadikan perkara seperti itu satu kebiasaan dalam parti kita. "Kena ingat, kita lahir di jalan raya dan berjuang berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Kita perjuangkan nasib rakyat, bukan poket, bukan kocek, bukan projek," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan tidak pernah meminta atau melobi untuk mendapat jawatan Menteri Komunikasi dan Digital yang disandangnya ketika ini, sebaliknya hanya dimaklumkan kira-kira lima minit sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkannya secara langsung kepada umum.



bottom of page