• Arissa Azman

Akhirnya Sajat mengaku dia adalah...

26 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Usahawan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat akhirnya membuka mulut mengenai dirinya yang sebenar.


Nur Sajat mengaku dirinya sebagai transwoman ketika muncul dalam program temu bual Harith Iskander dalam program "What's Going On Malaysia".


“Saya tahu, dan saya dapat tahu yang sahabat saya yang 'transwoman' macam saya ini, bahawa ada kes pencabulan terhadap komuniti ini.


“Mereka anggap kami ini lelaki, jadi mereka pegang sahaja di tempat-tempat tidak sepatutnya. Ini adalah tindakan yang tidak wajar,” dakwanya ketika muncul dalam program 'What's Going On Malaysia' pada Ahad.


Pada masa sama, Nur Sajat turut berkongsi beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Malaysia kerana mengalami ​kemurungan yang teruk hingga menjejaskan kesihatan mental.


"Pada satu tahap, apabila mendapat tekanan dan layanan yang berunsur kekerasan, saya jadi takut dan trauma.


"Saya sampai jadi murung, terpaksa mengambil ubat dan mendapatkan rawatan serta terapi mental.


"Itu menjadi antara sebab yang saya putuskan untuk meninggalkan anak, empayar perniagaan, keluarga dan kawan-kawan.


"Saya tidak pernah berpisah berbulan-bulan dengan anak-anak.


"Detik terakhir bersama anak-anak, saya rakam video dan gambar sebagai kenangan.


"Berat hati, tapi saya terpaksa lari kerana rasa diri tak selamat," tambahnya.


Nur Sajat mengaku memulakan hidup baharu dan sedang menjalani kuarantin sehingga minggu depan.


Terdahulu, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.


Ketika ditahan, Nur Sajat telah mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.