top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

AME 2021 kembali, Luqman Hariz tercalon dalam kategori Personaliti TV Meletop

6 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Penganjuran Anugerah Meletop Era 2021 (AME 2021) akan kembali menemui peminat pada awal tahun 2022.


Meskipun dianjurkan pada awal tahun hadapan, Astro tetap akan mengadakan acara berprestij tersebut secara norma baharu.


Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, penonton mungkin akan dibenarkan untuk menghadiri bagi memeriahkan lagi malam kemuncak AME 2021.


Bagaimanapun semuanya bergantung kepada keadaan negara ketika itu, namun AME2021 akan diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


"Buat masa sekarang penonton masih boleh hadir untuk rancangan secara langsung tapi kita lihat bagaimana keadaan selepas ini.


"Kalau masih dibenarkan, maka kita akan buka AME untuk orang ramai hadir dengan SOP yang ditetapkan," kata Raqim dalam sidang media AME 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa.


Pada masa sama, untuk penganjuran kali ini AME turut memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu 'BBNU MeleTOP', 'Video MeleTOP' dan 'Personaliti TV MeleTOP'.


Tambah Raqim sebarang perubahan pada setiap kategori ini adalah berdasarkan maklum balas yang diberikan daripada penonton-penonton AME sendiri.


Lebih menarik, personaliti Astro AWANI, Luqman Hariz turut tercalon dalam satu kategori iaitu Personaliti TV Meletop disamping Fiza Frizzy, Catriona Ross, dan pengacara Gempak TV, Isha Norsham.


AME edisi kelapan ini turut menampilkan dua pengacara terkenal iaitu Nabil Ahmad dan juga Jihan Muse sebagai teraju utama anugerah berprestij itu.


Nabil Ahmad dan Jihan Muse diberi kepercayaan untuk mengendalikan AME 2021

AME 2021 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dipancarkan di saluran Astro Ria, Astro Ria HD serta Astro Go pada 30 Januari 2022.


Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang hingga 19 November 2021, menerusi laman rasmi www.anugerahera.com.my dan aplikasi SYOK.

bottom of page