top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Anak muda perlu ubah presepsi 'Politik itu kotor'


Telah wujud persepsi negatif masyarakat terhadap politik. Ramai menganggap politik dicerminkan sesuatu yang kotor, hanya mementingkan kuasa, peluang mencari kekayaan dan pelbagai lagi naratif yang negatif.


Dikalangan orang dewasa juga golongan muda menjarakkan diri mereka daripada dikaitkan dengan politik. Mereka tidak mahu ‘terjebak’ dengan politik walaupun sekelumit.


Lebih-lebih lagi dalam beberapa bulan kebelakangan ini rakyat telah disajikan dengan pelbagai peristiwa politik yang melesukan jiwa dan raga mereka.


Namun begitu, politik adalah siasah. Suka atau pun tidak, politik dan Kerajaan memainkan peranan yang besar dalam mengurus negara dan sentiasa berkait rapat dalam kehidupan seharian. Politik perlu terus wujud dalam usaha kita menjamin kesinambungan masa depan negara dan bangsa serta agama.


Sebagai generasi pemimpin masa depan, anak muda perlu terus berbincang tentang politik terutama berhubung hal-hal berkisar kepentingan mereka. Hakikatnya masa depan generasi akan datang dan negara terletak pada mereka.


Jika semua anak muda menjarakkan diri daripada politik, terutamanya belia yang berkualiti, berintrigiti dan memiliki aura kepimpinan yang mulia, maka politik akan terus dicemari oleh barisan pemimpin yang ‘kotor’ sampai bila-bila.


Politik negara masa kini memerlukan lebih ramai orang yang baik untuk menjadi pemain politik. Disebabkan politik dilihat 'kotor dan menjijikkan' ada dikalangan mereka melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai wadah perjuangan mereka. Namun demikian, sebuah NGO tidak mampu untuk merubah polisi negara.


Jika ingin membuat perubahan, ia memerlukan sesuatu untuk mengubah polisi dan untuk itu perlu menjadi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. Justeru itu anak muda yang berfikiran untuk membina politik 'bersih' perlu melibatkan diri.


Negara memerlukan lebih ramai anak muda untuk berada dalam politik. Anak muda perlu tampil aktif dalam bidang politik. Diharapkan pemimpin parti politik memberi ruang dan dorongan kepada anak muda yang memiliki cita-cita murni dan berwawasan.


Masyarakat perlu bergerak ke hadapan. Masa depan negara perlu dilentur oleh satu semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan gender.


Sehubungan itu, budaya politik perkauman harus dielakkan sedaya upaya kita terutama dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baik untuk generasi akan datang.


Bercerta isu politik, sedikit sebanyak pasti akan menjurus isu-isu perkauman tetapi jika digarap secara berhemah ia akan menuju titik kesaksamaan. Sampai waktunya politik perkauman melampau demi meraih sokongan akan ditolak oleh rakyat.


Negara amat mengharapkan lebih ramai anak muda yang baik terutamanya yang berada di pusat pengajian tinggi untuk turut sama terlibat dalam politik. Walaupun politik itu dilihat 'kotor', akan tetapi negara amat memerlukan pemimpin baharu terutamanya anak muda berpolitik untuk merubah persepsi tersebut.


Matharuzaman Ahmad

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pontian

bottom of page