• newsatmy

Anak muda ramai tiada kerja, salah siapa?


KUALA LUMPUR: Mudah untuk mengatakan bahawa masalah pengangguran yang menyelubungi golongan belia pada hari ini adalah kerana mereka memilih kerja.


Mungkin ada benarnya, kerana menjadi manusia itu sentiasa ada pilihan dan pastinya semua mahu memilih yang terbaik untuk diri masing-masing. Namun adakah sesuai untuk menjadi terlalu memilih pada ketika ini, ketika ekonomi negara dan dunia terkesan teruk dibadai dek pandemik COVID-19?


Sebenarnya sebelum pandemik lagi, masalah pengangguran ini sudah wujud dan hanya semakin memburuk ketika ini. Namun apa puncanya hal ini masih belum selesai?


“Apa yang mereka bertungkus lumus belajar selama beberapa tahun, kemudian tiba-tiba dapat pekerjaan yang tak sepadan dengan apa yang dipelajari. Sudah pasti ada antara mereka yang menentang.


“Maka kita kena lihat apakah akarnya kepada kenapa mereka memilih kerja. Mungkin kita tidak mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk mereka aplikasi apa yang mereka belajar,” kata Ketua Pemuda Pas yang juga Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin.


Tidak kurang juga ada yang menyalahkan universiti kerana tidak mempersiapkan graduan untuk menjadi modal insan yang memenuhi kehendak industri.


Namun kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, tidak adil untuk berkata begitu.


“Bagi saya tak ada sektor berinovatif yang dibangunkan secara menyeluruh dari dekad sebelum ini. Kerja berkemahiran tinggi pun tak ada, nak salahkan universiti macam mana?

“Keduanya, kurang percambahan dari segi sektor. Ekonomi kita skopnya agak terhad,” katanya.


Jelas Nurul Izzah, gandingan atau sinergi yang efektif antara kilang penghasil modal insan dengan industri itu tidak wujud, maka lahirlah kelompok anak muda yang berkelulusan tetapi tidak bekerja.


Ironinya syarikat-syarikat swasta menjana keuntungan berlipat kali ganda saban tahun, tetapi mengapa tidak boleh diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan seiring produktiviti tinggi itu? Sudahlah peluang baharu tidak diwujudkan, malah yang bekerja pun sukar mendapat kenaikan gaji.


Waktu pandemik ini tidak dinafikan semua pihak terkesan dari aspek ekonomi, namun mereka tetap menjana keuntungan biarpun tidak sebesar sebelum ini.


Bagi Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, beliau merasakan puncanya adalah daripada amalan kapitalisme yang tidak terkawal yang berlaku dalam sektor swasta di negara ini.


Katanya, mereka hanya mengejar keuntungan maksima, dan tidak pernah memikirkan soal pengangguran.


“Ada COVID-19 atau tidak, akan sentiasa ada pengangguran jika kita harapkan sektor swasta untuk wujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan gaji, mereka tak akan buat.


“Bermakna ada sesuatu yang rosak dalam sistem kita yang memerlukan intervensi kerajaan.”

Soalnya, bagaimana kerajaan boleh bertindak dalam hal ini?


Jelas Shahril lagi, kerajaanlah yang perlu mewujudkan satu sistem ekonomi yang lebih prihatin, antaranya dengan mewujudkan lebih banyak cabang pekerjaan di ruang yang tidak mungkin diteroka sektor swasta.


Pada masa sama, katanya sektor swasta juga perlu dikawal dengan polisi yang lebih tegas supaya jurang gaji antara yang tertinggi dengan yang purata tidak begitu jauh.


Nurul Izzah mengambil contoh pelan cukai ketidak samaan pendapatan yang diperkenalkan Senator Amerika Syarikat, Bernie Sanders.


Perkara itu dipersetujui oleh Khairil dan Shahril, di mana Shahril menegaskan bahawa rakyat perlu yakin dengan modal insan di negara ini dan tidak terlalu bergantung harap kepada keberadaan syarikat multinasional serta pelabur luar.


“Dan ia boleh dimulakan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita, letakkan peraturan di mana nisbah gaji antara yang tertinggi dengan median tidak boleh lebih daripada nilai X,” katanya.


- Astro AWANI