top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ancelotti label kapten Real Madrid Karim Benzema pemain sempurna

15 Ogos 2021

ALAVES 1 REAL MADRID 4


Carlo Ancelotti menyifatkan Karim Benzema sebagai "pemain lengkap" selepas penyerang itu menjadi ilham kemenangan 4-1 Real Madrid di Alaves untuk membuka kempen LaLiga dengan nota positif.


Benzema mencetak dua gol menerusi voli dalam setiap babak sementara Nacho, disusuli tandukan Vinícius Junior, melengkapkan kemenangan gergasi dari ibu kota Sepanyol itu, awal pagi tadi, sejak Ancelotti kembali ke kelab berkenaan musim ini.


Sepakan penalti Joselu merapatkan jurang 1-3 sejurus gol kedua Benzema, tetapi Los Blancos lebih berazam untuk mencatat permulaan mengagumkan dalam usaha mereka untuk merebut gelaran.


Benzema telah meledak 17 gol LaLiga tahun ini, sumbangan itu hanya diatasi Lionel Messi (23) dan peranannya menyerlah sejak memakai lilitan kapten yang diwarisi daripada Sergio Ramos yang bergabung dengan Paris Saint-Germain (PSG).


Pengurus Madrid, Ancelotti, berasakan penyerang Perancis itu makin matang untuk menjadi pemain serba boleh yang hebat.


Dia berkata: "Benzema adalah penyelesaian pasukan, berkemampuan membaca situasi perlawanan dengan sangat baik. Dia adalah pemain yang saya rasa tidak cukup untuk dipanggil penyerang.


"Dia adalah pemain yang serba lengkap. Dia kini lebih lengkap berbanding lima tahun lalu."


Gareth Bale diberi peluang untuk memperagakan sentuhannya dalam kancah utama LaLiga sejak Jun 2020 selepas dipinjamkan ke Tottenham musim lalu, manakala Eden Hazard banyak mencetuskan masalah kepada kubu Alaves.


Bale meledak gol dalam kemenangan final Liga Juara-Juara (UCL) 2014 ke atas Atletico Madrid ketika tempoh pertama Ancelotti mengendalikan Los Blancos, tetapi sering diabaikan oleh Zinedine Zidane.


Ancelotti tidak pasti sama ada ketua pasukan Wales tersebut mempunyai keinginan tinggi untuk terus mewakili kelab itu ketika ini, tetapi sedar penyerang berkenaan masih mampu menghadirkan sumbangan bermakna.


"Saya tidak tahu apakah dia lebih komited dari tahun-tahun lalu memandangkan saya tiada di sini," katanya.


"Bale akan bertambah baik kerana keadaannya belum di tahap terbaik, sama seperti orang lain. Semua orang akan bertambah baik."


Madrid tidak pernah kalah dalam perlawanan pembukaan kempen LaLiga sejak 2008 apabila menang sembilan dan seri empat kali.



--AWANI

bottom of page