top of page
  • newsatmy

Anuar 'jatuh cinta' karya komposer muda

12 April 2021

KUALA LUMPUR: Sukar menidakkan ketelitian penyanyi popular, Anuar Zain, 51, dalam pemilihan lagu nyanyiannya, namun, kali ini teruja dapat bekerjasama dengan komposer muda, Farouk Roman dan Aisha Retno.


Selepas hampir tiga tahun tidak mempunyai single terbaharu, Anuar tampil mengubat kerinduan peminat menerusi single berjudul Sendiri ciptaan Farouk dan lirik oleh Aisha.


Kali terakhir, Anuar muncul dengan single Belahan Hati pada 2018.


Anuar menzahirkan pujian atas keaslian dan keikhlasan Farouk dan Aisha dalam karya ini.


"Kekuatan single Sendiri pada melodi dan liriknya yang ringkas dan ada hubung kait. Secara keseluruhannya, single ini sangat bagus. Saya paling suka bahagian korus.


"Selepas mendengarnya sekali, saya terus tertarik dengan karya ini. Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya terus melekat di hati saya.


"Single Sendiri menepati jiwa saya. Karya Farouk dan Aisha dihasilkan dari sanubari dan inginkan sesuatu yang berkualiti. Sekali gus, ia dapat memberikan halwa telinga yang baik buat pendengar. Mereka adalah karyawan muzik yang sangat cemerlang, ikhlas dan teliti dalam penghasilan lagu," katanya kepada BH Online.


Berkongsi pengalaman yang sekian lama tidak masuk studio rakaman, Anuar berkata, dia menikmati keseluruhan sesi rakaman dengan seronok.


"Sesi rakaman santai dan menyeronokkan. Kami bekerjasama dalam keadaan harmoni. Kami bertukar pandangan bagaimana single perlu dihasilkan. Produser vokal, Afif Tirmizie, Farouk dan Aisha begitu prihatin bagaimana single Sendiri harus disampaikan dengan sebaiknya.


"Saya berpeluang mengenali hati budi mereka sewaktu rehat. Tanpa disedari, kami sudah berbual selama lebih tiga jam. Banyak perkara dan pengalaman dikongsikan. Ia mengenai muzik, kehidupan, harapan dan pelbagai topik lain. Proses rakaman jadi menyeronokkan, saya juga teruja dengan setiap saat kami luangkan," katanya.


Untuk single Sendiri, Anuar berkata, dia cuma harapkan mampu melonjakkan kegembiraan dalam diri pendengar.


"Saya harapkan penggemar muzik menikmati buah tangan terbaharu ini. Kali ini, saya mempertaruhkan single berentak sedikit rancak. Semoga peminat dapat menikmati karya ini dengan perasaan gembira dan menyelami setiap bahagian lirik yang mungkin ada kaitan dengan kehidupan mereka.


"Tidak ketinggalan, semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan dan dapat membawa industri muzik ke tahap lebih tinggi.


"Terima kasih kepada Farouk, Aisha, Bajai selaku penggubah muzik, Afif (produser vokal), Fadly (jurutera bunyi) dan Sony Music Malaysia atas kerjasama ini," katanya.


Single Sendiri yang juga lagu tema untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music. -BH Online

bottom of page