top of page
  • newsatmy

Anuar Zain Dan Ernie Bakal Digabungkan Atas Satu Pentas Di Konsert Mini ‘Showcase Lejen Ria’

21 Mac 2021

Program ‘Showcase Lejen Ria’ adalah sebuah program hiburan terbaharu yang dihoskan oleh Dato’ AC Mizal berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama barisan penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air.


5 Penyanyi Ikonik Dalam Masa 4 Minggu


Lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik yang berbeza iaitu Kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu menerusi empat buah konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.


Kumpulan Wings Imbau Sejarah Dalam Industri


Kumpulan Wings akan membuka gelanggang episod pertama pada hari ini, 21 Mac 2021. Antara babak menarik yang harus dinantikan adalah sewaktu segmen ‘Balik Belakang’ yang akan menyiarkan koleksi gambar kenangan menampilkan Dato’ Awie, Eddie, Black serta ramai lagi.


Selain itu, terdapat juga segmen istimewa yang menampilkan panggilan video secara langsung bersama komposer dan penulis lirik, Bob Lokman untuk mengetahui kisah di sebalik lagu ‘Taman Rashidah Utama’ serta kenangan bersama Kumpulan Wings.


Zamani & Ameng Berkongsi Kisah Sepanjang Bergelar Penghibur


Konsert diteruskan dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua pada 28 Mac 2021.


Ameng turut berkongsi momen menarik antaranya ketika dia diangkat oleh peminat dan kejadian peminat yang menangis di hadapannya sewaktu membuat persembahan.


Nantikan juga perkongsian eksklusif oleh Zamani saat sedang diuji dengan detik hitam semasa dalam pusat pemulihan dadah.


Ella Buat Kejutan Menarik Bersama Suami


Ratu Rock Negara, Ella akan beraksi di episod ketiga pada 4 April 2021. Ella juga akan turut membuat kejutan menarik menerusi persembahan khas bersama suami tercinta, Azhar Ghazali serta adiknya, penyanyi Korie.


Anuar Zain Bawa Ernie Untuk Penutup Tirai


Manakala penyanyi terkenal Anuar Zain akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat pada 11 April 2021.


Penyanyi malar segar ini juga tidak ketinggalan untuk berduet bersama anak saudaranya iaitu Ernie Zakri untuk episod akhir ini.


Program ini akan bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 21 Mac 2021 menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

bottom of page