top of page
  • cik skod

Anugerah AST: Mohamad Nur Aiman, Siti Nur Azwani dinobat, Olahragawan, Olahragawati


KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Anugerah Sukan Terengganu AST 2021/2022 telah menobatkan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dari sukan berbasikal sebagai Olahragawan Negeri manakala Siti Nur Azwani Nor Azli dari sukan karate sebagai Olahragawati Negeri. Kejayaan kedua-dua atlet berkenaan berdasarkan kejayaan cemerlang membawa nama Terengganu dan Malaysia ke pertandingan berprestij berlangsung di luar negara. Sebanyak 15 kategori anugerah dipertandingkan melibatkan atlet dan pegawai yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam bidang sukan masing-masing. Anugerah kali ini turut mengambil pendekatan dengan tidak mencalonkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk kategori Olahragawan Negeri, sebaliknya menganugerahkan beliau Kategori Anugerah Khas atas pencapaian terunggul dan sumbangan berterusan dalam mengharumkan nama negeri dan negara. Anugerah Khas ini juga diberi kepada Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Arkitek Sukan Negeri Ibni Amin Busu, mantan Pengarah MSN Terengganu. "Memang tidak percaya sebab saya ingatkan saya datang untuk hadir sahaja tapi alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya usaha titik peluh selama ini, akhirnya berhasil, terima kasih ibu bapa, juru latih serta kawan-kawan pasukan untuk semua ini. "Insya-Allah dengan apa yang saya dapat hari ni saya akan lebih bersemangat untuk terus kehadapan dan galas tanggungjawab sebagai seorang atlet negara," kata Siti Nur Azwani kepada pemberita pada anugerah berkenaan di sini. Penyampaian hadiah dan piala disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu.

bottom of page