top of page
  • newsatmy

Anwar dipersalahkan atas kekalahan PH

22 November 2021

Seorang Adun DAP menggesa Anwar Ibrahim berundur sebagai ketua pembangkang berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.


Menulis di Facebook, Adun Bilut, Lee Chin Chen berkata, pakatan pembangkang perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.


"Saya menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,.


Katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.


Namun Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula berpendapat adalah tidak wajar ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dipersalahkan atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.


Menurut Hanipa dia menerima banyak mesej yang memintanya seolah-olah bersetuju untuk menyalahkan Anwar ke atas kekalahan PH khususnya PKR pada PRN tersebut.


Pada PRN Melaka yang berakhir Sabtu lalu, PH tewas kepada BN yang berjaya meraih majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


PKR menerima tamparan paling hebat apabila tewas kesemua kerusi ditandinginya meskipun meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam PH.


PKR bertanding 11 kerusi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.


DAP pula hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi manakala Amanah menang satu daripada dua kerusi yang ditandinginya.

bottom of page