top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Lawatan Anwar ke Arab Saudi adalah satu “kesilapan diplomatik yang besar”-KJ


Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya ke Arab Saudi tanpa janji temu yang ditetapkan untuk perjumpaan dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud, kata bekas menteri, Khairy Jamaluddin.


Menurutnya, ini lebih-lebih lagi kerana jadual di Arab Saudi lazimnya adalah haywire (kelam kabut) pada minggu pertama bulan Ramadan.


“Saya sudah lama terlibat mengatur perjalanan ke luar negara termasuk program perdana menteri, dan saya tahu kita tidak boleh pergi jika program itu tidak dimuktamadkan.


“Berkenaan dengan budaya di Arab Saudi, dia (tetamu) tidak akan pergi minggu pertama Ramadan. Sebab minggu pertama Ramadan ni memang jadual-jadual haywire.


“Tak boleh minit terakhir buat janji temu,” katanya semasa bercakap di podcast 'Keluar Sekejap' bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan semalam.


Sambil menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘kesilapan besar’, dia berkata insiden itu bukan sahaja memalukan perdana menteri tetapi juga buat Malaysia dan rakyat.


Sehubungan itu, menurut Khairy, apa yang berlaku tidak seharusnya dipandang remeh memandangkan kepentingan geopolitik Arab Saudi, serta peluang perniagaan daripada projek mega di negara itu.


"Saudi Arabia adalah salah satu (negara yang mempunyai) hubungan diplomatik yang sangat-sangat penting bagi kita, bukan saja tentang kuota haji.


“Lainlah kalau ini adalah lawatan peribadi untuk mengerjakan ibadah umrah. Tetapi ini adalah lawatan rasmi. Siaran akhbar kata ini lawatan rasmi.

“Maksudnya pembayar cukai bayar untuk perdana menteri pergi ke sana. Ia bukan lawatan untuk mengerjakan umrah,” katanya.


Anwar berkunjung ke Arab Saudi dari 22 Mac hingga 24 Mac.





bottom of page