top of page
  • Writer's pictureNihaba

APG: Kontinjen Malaysia diraikan sebagai wira


SEPANG,8 Ogos: Kepulangan kontinjen Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 dari Solo, Indonesia diberi sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan kesemua atlet itu semalam disambut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jana Sathiran Muniayan dan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Suhardi Alias.


Keseluruhan 70 atlet negara yang beraksi di temasya berprestij itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Adisumarmo, Indonesia pada 2 petang dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8753 dan selamat mendarat di KLIA pada 4.30 petang.

Penyumbang pingat pertama pada temasya itu, jaguh olahraga negara Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet powerlifting Bryan Junnecy Gustin serta atlet renang Brenda Anellia Larry antara ahli kontinjen yang disambut keluarga dan peminat sukan tanah air dengan jambangan bunga serta tepukan gemuruh.


Turut bersama-sama mereka adalah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Chef-de-Mission (CDM) Kol (B) Md Nor Azam Ariffin.


Pada temasya itu, Muhammad Ziyad menyumbang emas pertama negara dalam acara lontar peluru lelaki F20, Bryan Junnecy merangkul emas dalam kategori atas 80 kilogram manakala Brenda Anellia menggenggam emas dalam acara 100 meter kuak dada wanita SB4 (kecacatan fizikal).


Kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa secara keseluruhan pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai hingga Sabtu.

-- BERNAMA


bottom of page