top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Arak: Menteri Wilayah tidak perlu tunduk tuntutan 7 Ahli Parlimen PH – Khairil Nizam

4 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan diminta untuk tidak tunduk kepada tuntutan tujuh orang Ahli Parlimen Pakatan Harapan berhubungan larangan penjualan arak dan penguatkuasakan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) pada Isnin.


Menurut Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir. Ts. khairil Nizam, debagai seorang rakyat Malaysia yang muslim, beliau sangat bergembira dengan tindakan Kerajaan melalui DBKL yang melarang penjualan arak (liquor) di kedai runcit dan serbaneka berkuatkuasa 1 November 2021.


“Saya berharap agar Kerajaan serta Menteri Wilayah Persekutuan bersama DBKL dapat bertegas dengan keputusan serta perlaksanaan dasar ini dan tidak tunduk kepada mana-mana desakan atau rayuan untuk membatalkan keputusan ini.


“Keputusan Kerajaan ini pada saya sangat bertepatan dengan nilai dan jatiri diri negara kita, Malaysia.


“Saya memahami serta menghormati hak kebebasan rakyat Malaysia yang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka namun kesan buruk industri maksiat ini mestilah diberi perhatian oleh kita semua yang mencintai negara ini.


“Baru-baru ini di Dewan Negara ketika membahaskan RMK-12, saya juga telah menyatakan bahawa Kerajaan mestilah menzahirkan komitmen di dalam RMK12 untuk mengurangkan kebergantungan pendapatan Kerajaan kepada Industri Maksiat yang terbukti membawa kepada masalah sosial yang lebih besar kepada negara kita ini.


“Saya juga mewakili majoriti umat Islam di negara kita ingin melihat kesungguhan Kerajaan melalui RMK12 ini agar Kerajaan dapat mengambil langkah membanteras “Ekonomi Gelap” yang berleluasa secara bebas di dalam negara kita ini,” ujar Khairil Nizam.


Menerusi garis panduan lesen minuman keras (LMK) yang diedarkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, jenis aktiviti perniagaan yang dimestikan memohon lesen tersebut terdiri premis yang menjual atau menghidangkan arak termasuk bar atau pub atau lounge, restoran, gudang atau stor dan semasa acara atau promosi yang menghidangkan minuman keras tersebut.

bottom of page