top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Armada pelik Ketua Pemuda UMNO memperlihatkan dirinya bukan sebahagian daripada kerajaan

2 Ogos 2021

Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyerang kerajaan dengan menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, dilihat sebagai tidak senada dengan aspirasi kerajaan.


Ketua Armada BERSATU Bahagian Jempol, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh berkata ini kerana dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO adalah antara parti yang turut menganggotai pentadbiran kerajaan.


Jelasnya, Asyraf sewajarnya memperlihatkan dirinya menjadi sebahagian daripada kerajaan itu.


"Armada sebulat suara menentang kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.


"Dia memperlihatkan diri dia seperti bukan daripada sebahagian kerajaan. Sedangkan parti dia sendiri dalam kerajaan PN,


"Ahli-ahli parlimen UMNO dah keluarkan kenyataan sebulat suara pertahankan Muhyiddin sebagai perdana menteri, demikian juga dari PAS. Tapi kenyataan dia sebaliknya, tidak senada," katanya.


Muhammad Noraffendy berkata demikian ketika menjadi panel program Pentas Wacana bertajuk Pembatalan Darurat: Apa Yang Berlaku? yang disiarkan di saluran Youtube dan Facebook Wacana.my, dikendalikan oleh Fazlan Ahmad pada Sabtu.


Muhammad Noraffendy turut mempersoalkan tindakan Asyraf yang melontarkan kecaman-kecaman berbentuk peribadi.


Katanya, beliau tidak mahu kenyataan-kenyataan peribadi itu nanti akan diterjemah menjadi suara rakyat.


"Sebagai contoh, dia telahpun kemukakan 10 tuntutan kepada Parlimen, melalui perbincangan bersama dengan Menteri Kewangan baru-baru ini. Saya pasti perkara ini diambil cakna oleh kerajaan.


"Tetapi, kenapa perlu kecaman berbentuk peribadi? Adakah dia tidak mendapat jawatan dalam kerajaan?


"Armada tidak mahu kenyataan peribadi menjadi suara rakyat. Dia bukan orang luar pun, dia sebahagian daripada kerajaan," katanya.



--PN Online

bottom of page