• Arissa

Artis grafiti tanah air Katun raih lebih RM1.6 juta hasil jualan karya seni NFT

24 Ogos 2021

ARTIS grafiti tanah air Katun meraih lebih RM1.6 juta apabila berjaya menjual dua koleksi karyanya dalam bentuk non-fungible token (NFT), selepas 24 jam dilancarkan.


Katun atau nama sebenar Abdul Hafiz Abdul Rahman berjaya melelong 50 karya NFT edisi khas dalam tempoh 30 minit, dan 776 karya edisi terbuka dalam tempoh 24 jam selepas pelancaran pada jam 2 pagi, 18 Ogos lalu.


Karya seni NFT edisi khas Katun berjudul "Apes Stand Strong" dijual pada harga 1 Ethirium (ETH), manakala edisi terbuka "Mystical Fruits" pula pada harga 0.10 ETH seunit.


Bagi 50 unit koleksi Apes Stand Strong, Katun meraih hampir RM670,000, manakala bagi 776 unit Mystical Fruits pula sebanyak 77.6 ETH atau RM1,084,630 berjaya diraih.


Jumlah jualan kedua-dua koleksi lukisan digital itu meletakkan Katun sebagai pelukis tanah air pertama yang berjaya menjual koleksi NFT dengan harga tertinggi di Malaysia ketika ini.


Katun juga merupakan pelukis pertama melancarkan NFT di platform matawang kripto, Superfarm.


NFT telah menarik perhatian ramai, bukan sahaja dalam industri blockchain tetapi juga dalam cabang seni.


Hak milik setiap satu NFT adalah unik, terpelihara dan hanya satu pemilik mampu memiliki satu-satu NFT pada satu masa.


Ini kerana setiap NFT dilindungi sistem digital blockchain yang mengesahkan ketulenan produk itu tanpa risiko ditiru atau dicetak rompak, seterusnya memberi perlindungan kepada pengkarya serta pembeli.


Selain lukisan digital, karya seni muzik juga antara yang turut dijual dalam bentuk NFT.


Katun pernah berkolaborasi dengan artis ternama antarabangsa seperti Chris Brown, Dua Lipa and Post Malone, selain jenama-jenama popular Marshall, JBL, Oppo, Tealive, Proton, Hua Wei, dan Sony.