Ashraf Muslim pohon doa kesihatan bapa yang berada pada tahap lima COVID-19
21 September 2021
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Ashraf Muslim memohon orang ramai supaya mendoakan bapanya, Muslim Bulat yang ketika ini terpaksa ditidurkan berikutan berada pada tahap lima jangkitan COVID-19.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Ashraf mengakui rasa sayu dan dan sebak untuk memaklumkan bapa kesayangannya itu telah dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti virus tersebut.
“Hari ini bangun tidur rasa sangat sayu. Puas pujuk hati ini tapi gagal juga. Memang pagi ini saya paksa diri untuk sampaikan berita ini.
“Saya mohon maaf dan meraih doa dari sahabat semua mendoakan ayah saya diberi kekuatan dan kesembuhan kepadanya.
"Dalam hidup terlalu banyak pengorbanan yang sudah saya lakukan, tapi ya Allah saya belum sedia lagi untuk terima perkara yang tak diingini berlaku terhadap ayah.
"Apa yang diharapkan sekarang ialah keajaiban yang berlaku terhadap ayah kembali sihat seperti biasa. Allahuakbar, ya Allah bantulah kami semua," jelasnya dalam satu entri di Instagram pada Isnin.
Sebagai rekod, Ashraf Muslim juga pernah disahkan positif COVID-19 pada 12 April lepas.
Comments