• newsatmy

Astro dilantik sebagai pengedar rasmi Disney Plus Hotstar

6 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Peminat tegar Star Wars pastinya teruja dengan penyiaran siri eksklusif Star Wars: Mandalorian di Malaysia menerusi hasil kerjasama antara Disney Plus (Disney+) Hotstar dan Astro bermula 1 Jun ini.


Selain Astro, difahamkan Disney+ turut bekerjasama dengan Pixar, National Geographic, Marvel, Star Wars, dan Disney sendiri.


Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, ini merupakan permulaan yang baik untuk tahun penuh aksi.


Kerjasama itu menawarkan perkhidmatan penstriman langganan video ‘Ón Demand’ (SVOD) yang diperluaskan dan akan memberikan pelanggan pelbagai jenis hiburan untuk dipilih dan kelainan serta kemudahan.


“Kami gembira dapat menjadi pengedar rasmi Disney+ Hotstar di Malaysia dan akan mengagregasikan lebih banyak kandungan bertaraf dunia di platform kami.


"Tidak lama lagi, pelanggan dapat menikmati kandungan hebat daripada Disney+ Hotstar, tambahan kepada kandungan terbaik Astro, kandungan tempatan, karya asli yang memenangi anugerah dan kandungan sukan yang tiada tandingan yang menjadikan kami destinasi hiburan yang tidak disangkal lagi oleh rakyat Malaysia," kata Tan dalam kenyataan pada Selasa.

Astro dilantik sebagai pengedar rasmi Disney+ Hotstar


Berikutan itu, peminat-peminat Star Wars mula berkongsi kicauan #maytheforcebewithyou di platform media sosial, Twitter sejak semalam sebagai memperingati Hari Star Wars Sedunia yang disambut 4 Mei setiap tahun dan keterujaan mereka apabila mendapat tahu bahawa Astro bakal bekerjasama dengan Disney+ Hotstar dan menyiarkan Siri Ekslusif Star Wars: Mandalorian yang sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka.


Pasti juga ramai yang tertanya-tanya, mengapa setiap 4 Mei?


Sekiranya anda pecinta Star Wars, pastinya anda memahami salah satu ungkapan terkenal dalam filem yang ikonik ialah 'May the Force be With You’.


Ungkapan inilah yang melahirkan sebuah idea untuk merayakan ‘May the Fourth’ yang bermaksud Mei keempat Hari Star Wars sedunia.


Antara filem tempatan yang juga bakal ditayangkan ialah J: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali, Upin Ipin dan banyak lagi.


Perkhidmatan ini turut ditawarkan hanya selama 28 hari dan bakal menawarkan 800 filem dan 18,000 episod siri yang boleh ditonton di platform Disney+ Hotstar dengan hanya RM54.90 utuk 3 bulan.


Turut disediakan pada peranti yang bersambung internet yang serasi, Disney+ Hotstar menawarkan kandungan bebas komersial dengan pelbagai filem asli Panjang, siri aksi lansung dan animasi, kandungan format pendek dan dokumentari, termasuk siri seperti The Mandalorian, Wandavision dan The Falcon and The Winter Soldier dan filem-filem lain seperti Avengers: Endgame, Aladdin dan Frozen 2.


-Astro Awani