• newsatmy

ATM siap sedia jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

20 Februari 2021

KUALA LUMPUR: Susulan bekalan pertama vaksin COVID-19 yang dijangka tiba ke negara ini esok, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima.


Menurut Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang, ini bagi memastikan keseluruhan program imunisasi yang dirangka kerajaan dapat dilaksanakan dengan teratur dan mencapai matlamat.


Ia juga bagi mengurangkan sebarang bentuk pembaziran dalam penggunaan vaksin berkenaan.


"Melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.


"Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu KKM dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.


"Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran/penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program," kata Affendi dalam satu kenyataan hari ini.


Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Feb (esok), menurut pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.


Affendi berkata, ATM juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warga ATM, sebagai penerima vaksin berkenaan.


Jelasnya, ini berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak tersebut dan pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’.


"Melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.


"Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.


"Pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien," ujarnya.


Tambah Affendi, peranan dan penglibatan aktif ATM dalam program imunisasi ini bakal membantu memperlahankan proses penularan wabak COVID-19 bukan sahaja di kalangan warga petugas barisan hadapan malah di kalangan masyarakat Malaysia keseluruhannya.


"ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi wabak COVID-19.


"Kerjasama setiap lapisan peringkat masyarakat juga amat diperlukan dalam kita menjayakan program imunisasi ini seterusnya dapat membendung keseluruhan penularan wabak berkenaan," katanya.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.