• newsatmy

Audio tular: Tun Faisal ajak Zahid Hamidi bersumpah untuk bersihkan nama

12 April 2021


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengajak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bersumpah supaya dapat membersihkan nama masing-masing.

Kedua-dua individu ini terpalit terlibat dalam penularan audio perbualan yang didakwa antara Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ini kerana pada ketika ini, Tun Faisal dituduh terlibat merakam atau mencipta audio perbualan antara Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim.


Beliau juga dituduh menfitnah Zahid berkenaan kewujudan surat sokongan Zahid dan Datuk Seri Najib Razak terhadap Anwar Ibrahim.


"Tulisan yang memfitnah saya sebagai dalang 'penciptaan' dan penyebaran audio Anak Murid - Cikgu ini telah disebarkan menggunakan WhatsApp kepada Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Sayap Bahagian oleh pihak yang mempunyai nombor-nombor telefon mereka.


"Besar kemungkinan oleh pihak UMNO Pusat sendiri yang mempunyai akses terhadap nombor-nombor Ketua-ketua UMNO Bahagian dan Sayap-sayap Bahagian di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Pada masa sama jelasnya, Zahid juga dikecam hebat kerana didakwa menipu Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 berikutan tersebarnya audio perbualan serta surat sokongan terhadap Anwar.


"Atas sebab itu, saya ingin mengajak YB Datuk Seri untuk bersumpah bersama-sama dengan saya supaya kita dapat membersihkan nama masing-masing.


"Selain membuat laporan polis untuk menyiasat kesahihan audio ini yang akan mengambil sedikit masa, bersumpah atas nama Allah setidak-tidaknya boleh meredakan kecaman terhadap YB Datuk Seri," ujarnya.


Beliau menjemput Ahmad Zahid untuk sama bersumpah bersama-sama di Surau Ar-Rahman, PWTC selepas solat Jumaat ini (16 April 2021) jam 2.30 petang.


Tambahnya, dengan mengambil tindakan ini ia diharap dapat membersihkan nama serta UMNO dapat kembali bersatu dan berada di landasan sebenar perjuangan. -BH Online