top of page
  • cik skod

Australia tarik diri bida anjur Piala Asia 2023


Australia memutuskan untuk tidak membida penganjuran Piala Asia 2023 dan sebaliknya menyatakan hasrat menganjurkan Piala Asia Wanita 2026. Negara itu bersama Korea Selatan, Indonesia dan Qatar sebelum ini mengemukakan hasrat untuk menggantikan China sebagai tuan rumah kejohanan 2023.


“Persatuan Bola sepak Australia memutuskan tidak akan meneruskan untuk mengemukakan bidaan rasmi menganjurkan Piala Asia AFC 2023,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

“Australia mengekalkan minat yang tinggi untuk membida Piala Asia Wanita AFC 2026 dan akan menyerahkan bidaan rasmi dan komprehensif kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dalam garis masa yang diperlukan akhir tahun ini.”


Persatuan Bola Sepak Australia tidak memberikan alasan untuk menarik diri, tetapi Ketua Eksekutif, James Johnson berkata pada Julai lalu, bidaan bergantung kepada sokongan kerajaan dan AFC terbuka untuk memindahkan tempoh kejohanan ke Januari hingga Februari 2024.


China sepatutnya menganjurkan kejohanan 24 pasukan itu pada Jun dan Julai 2023, tetapi melepaskan hak penganjuran pada Mei lalu kerana melaksanakan Dasar Sifar Covid.

Australia dijadualkan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2023 dengan New Zealand antara Julai hingga Ogos 2023.


Tarikh akhir bidaan untuk Piala Asia Lelaki ialah 31 Ogos lalu. Korea Selatan mengesahkan minggu ini telah mengemukakan bidaan. AFC pula enggan mengulas sama ada Indonesia dan Qatar turut membida.


Persatuan Bola Sepak Indonesia enggan mengulas mengenai minat terhadap kejohanan itu. Persatuan Bola Sepak Qatar juga tidak memberikan komen segera, tetapi sumber mengesahkan bahawa dokumen yang diperlukan telah diserahkan.


Mengikut AFC, Australia, Arab Saudi, Jordan dan Uzbekistan juga mengemukakan minat untuk menjadi tuan rumah Piala Asia Wanita 2026.

bottom of page