top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Azmin wakili PM ke Upacara Pengebumian Negara Abe


PUTRAJAYA, 26 Sept- Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Upacara Pengebumian Negara mendiang mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada 27 September di Nippon Budokan, Tokyo. Kementerian Luar menerusi kenyataan memaklumkan, Datuk Seri Mohamed Azmin akan diiringi pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo. "Upacara tersebut merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno dan Menteri Luar Negeri Jepun, Yoshimasa Hayashi.



Ia diikuti pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada balu Abe, Akie Abe di Akasaka Palace, Tokyo," menurut kenyataan itu.


Abe sebelum ini telah mengadakan lawatan ke Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT). Lawatan terakhir beliau ke Malaysia selaku Utusan Khas Perdana Menteri Jepun adalah bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT pada Mac 2022. Abe maut selepas ditembak ketika berucap di wilayah Nara, barat Jepun pada 8 Julai lalu.

bottom of page