top of page
  • admin

"Bagus Umno sekarang. Semenjak Umno berbaik dengan DAP"- Azmin Ali


SHAH ALAM 15 Mac:Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kedudukan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memandangkan masih belum ada kata putus berhubung isu itu selepas Pakatan Harapan (PH) bergabung dengan Barisan Nasional (BN).


Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu membangkitkan perkara ini kepada Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim, selepas menyatakan kepada media tiada lantikan baru untuk ketua pembangkang setakat ini apabila penyandangnya Rizam Ismail dari Umno belum menghantar surat peletakan jawatan.


Pada masa sama, Azmin turut menggesa supaya Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjelaskan mengenai kedudukan Umno dalam DUN Selangor selepas parti itu kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang diketuai PH.


Menurutnya, wakil rakyat Umno di Selangor masih menerima peruntukan sebagai pembangkang dan bukannya kerajaan, sekali gus menunjukkan pendirian kerajaan Selangor tidak selari dengan kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


"Kalau mereka sebahagian (daripada kerajaan) peruntukan sebagai anggota kerajaan masih belum dapat. Mereka masih dapat peruntukan sebagai pembangkang," katanya ketika berucap dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di DUN Selangor, hari ini.

"Kata kerajaan Madani. Di mana nilai ihsan dan keadilan? Ketua pembangkang masih Umno. Ini zaman gila, zaman edan."


Sementara itu, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor turut membangkitkan bahawa pelantikan ahli majlis di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak melibatkan wakil daripada Umno atau BN.


Ucapan beliau kemudian dicelah oleh Adun Sungai Panjang, Imran Tamrin, dari Umno yang berpandangan supaya perkara ini diselesaikan oleh pihak yang mempunyai “locus standi” sebelum dapat menyatakan pendirian.

"Ini termasuk ketua pembangkang dan juga melibatkan Pengerusi Perhubungan Umno.

“Kedudukan ini biarlah dikategorikan sebagai 'status quo sehingga ada keputusan," katanya.


DUN kemudian bertukar kecoh sebentar apabila Azmin memuji sikap Umno yang berkelakuan baik selepas parti itu kini sudah berbaik dengan DAP.


"Bagus Umno sekarang. Semenjak Umno berbaik dengan DAP, dia tunduk sahaja, tak berani bersuara," kata Azmin sebelum beberapa wakil rakyat kerajaan menggesa supaya beliau menarik semula kenyataan itu kerana dipercayai membuat sangkaan jahat.


Tambah Azmin, beliau sekali lagi mempersoalkan bagaimana menteri besar akan berlaku adil kepada rakyat Selangor sekiranya gagal untuk berlaku adil kepada rakan kongsi mereka di negeri itu.

"Jika rakyat Selangor mahukan kerajaan yang stabil, kuat dan adil, sokonglah PN dalam pilihan raya nanti," kata beliau sebelum kenyataan ini sekali lagi menimbulkan kemarahan wakil rakyat kerajaan negeri.

bottom of page