• newsatmy

Bahrain hukum kesilapan sendiri Harimau Malaya

29 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kesilapan sendiri menghukum skuad Harimau Malaya apabila tewas 2-0 kepada Bahrain pada Aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, awal pagi tadi.


Malaysia yang menampilkan persembahan terpuji pada separuh masa pertama, terlebih dahulu menguji gawang gol tuan rumah pada minit kelapan, namun sepakan leret kaki kiri tonggak pertahanan, Matthew Davies tepat ke dakapan penjaga gol Sayed Shobar Alawi.


Pasukan kendalian Helio Sousa hampir menghukum kelekaan barisan pertahanan negara pada minit ke-21, tetapi percubaan penyerang Mahdi Abduljabbar berjaya ditepis keluar Mohd Farizal Marlias.


Bahrain, yang menghuni ranking ke-98 dunia, sepatutnya berada di depan hasil serangan balas dilakukan tuan rumah, namun jaringan Mahdi pada minit ke-28 dibatalkan selepas penyerang berkenaan berada dalam kedudukan offside.


Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan tengah, Muhammad Irfan Zakaria yang menjatuhkan Mahdi membawa padah dan menyaksikan pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.


Penggempur Manama Club itu dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41 untuk meletakkan skuad tuan rumah di hadapan.


Skuad kebangsaan hampir menyamakan kedudukan pada minit pertama masa kecederaan babak pertama, tetapi tandukan Muhammad Syafiq Ahmad yang menyambut hantaran cantik dari sebelah kanan oleh Matthew, hanya melambung tinggi.


Pemain gantian Mohd Jassim Marhoon terus menambah 'luka' Harimau Malaya apabila menolak masuk bola ke dalam gawang negara pada minit ke-61 untuk jaringan kedua Bahrain, selepas bijak menghidu tampanan kurang kemas Farizal yang menerima 'back pass' daripada pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi.


Peluang terbaik Malaysia pada separuh masa kedua hadir menerusi minit ke-65 Norshahrul Idlan Talaha apabila percubaannya ditepis Sayed Shobar, selepas situasi kelam-kabut di kawasan pertahanan Bahrain berpunca daripada umpanan kapten pasukan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.


Keputusan berkenaan menyaksikan Malaysia mencatat kekalahan kedua berturut-turut selepas tumpas di tangan Kuwait 4-1 pada aksi pemanas badan Ahad lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.


Malaysia yang berada pada kedudukan kedua Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand (15 Jun).


-- BERNAMA