• admin

Bajet 2023 dibentang jam 4 petang ini



KUALA LUMPUR: Penantian selama beberapa minggu berkenaan Bajet 2023 akan berakhir hari ini.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, jam 4 petang nanti.


Menurut Tengku Zafrul, pembentangan Bajet 2023 akan lebih mengutamakan kepada fokus kerajaan dalam mengukuhkan usaha pemulihan ekonomi semasa.

Menurutnya, keadaan ekonomi yang kini menunjukkan tanda positif perlu diberi perhatian agar tidak terjejas dan pada masa sama bakal bersifat lebih mampan.

Malaysia juga, jelas beliau, sedia untuk beralih daripada strategi pemulihan kepada pembaharuan struktur untuk mengukuhkan daya tahan ekonominya dan menambah baik kesejahteraan rakyat menerusi Bajet 2023.


Dalam kenyataan pra-Bajet 2023, beliau memaklumkan bajet ini dirangka berdasarkan kepada tiga bidang keutamaan.


Tumpuannya adalah mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi, mengukuhkan daya tahan ekonomi terhadap kejutan pada masa depan, dan melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam aspek ekonomi serta sosial bagi perniagaan, sektor keutamaan dan negara.



Sebelum ini Bajet 2022 bernilai RM332.1 bilion yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021 memberi manfaat terutamanya kepada Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM52.6 bilion.


Ini diikuti oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM32.4 bilion, dan Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM14.5 bilion.


Menerusi kenyataan prabajet itu, Kementerian Kewangan juga menekankan tentang kepentingan melaksanakan bantuan bersasar di bawah Bajet 2023, terutamanya program bantuan tunai serta subsidi bahan api yang akan ditambah baik menerusi mekanisme pengagihan yang lebih efektif.


Bajet 2023 juga dijangka menumpukan kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Bajet ini menjadi tumpuan kerana disifatkan bajet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).