top of page
  • newsatmy

Bajet 2023: Sektor pendidikan terima peruntukan RM55.6B


KUALA LUMPUR: Bajet 2023 kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM55.6 bilion.


Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan daripada peruntukan sedia ada dalam, Bajet 2022 iaitu RM52.6 bilion.


Menurut beliau, menerusi bajet itu nilai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinaikkan kepada RM150 bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3,000 ringgit ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak pada Bajet 2022 akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.

"Bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan BAP akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.


"Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450.


" Insya-allah, bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di sini, pada Jumaat.


Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, peruntukan disediakan untuk BAP adalah sebanyak RM825 juta iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini RM450 juta.


Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan.


"Bagi terus menambah baik program ini, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3 untuk Semenanjung dan dari RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, yang akan berkuat kuasa pada bulan ini," tambahnya.


Menurutnya, sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.


Dengan itu, katanya, lebih 800,000 pelajar serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan itu.

bottom of page