• newsatmy

BAM akan bantu Kisona baiki prestasi diri - Norza

14 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus menyokong pemain perseorangan wanita negara S.Kisona dalam usaha mengembalikan keyakinan diri dan prestasi dirinya.


Presiden BAM Tan Sri Mohamed Norza Zakaria berkata BAM akan membantu pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu dengan pelbagai bantuan yang diperlukan, termasuk dari aspek psikologi.


Mohamad Norza menekankan setiap individu di bawah BAM akan dilayan seperti anggota keluarga dan memberi jaminan bahawa prestasi atlet berusia 23 tahun itu akan dipantau rapi oleh kakitangan kejurulatihan dan pengurusan.


"Kisona akan menjalani rejim latihan yang bersesuaian untuk mengembalikannya ke tahap sebelum ini dari segi mental dan fizikal serta dari aspek keupayaannya untuk bertanding di kejohanan bertahap tinggi. Kita sedang meneliti perkara ini dan jurulatih juga sedang menyiapkan beliau untuk kejohanan seterusnya.


"Kita mempunyai sistem sokongan yang mencukupi di sini sebagaimana telah saya maklumkan semasa berucap di hadapan anggota majlis. Saya gembira kita semua bersatu di belakang Kisona, beliau adalah sebahagian daripada keluarga ini dan kita sedang menjaga seorang daripada anggota keluarga kita yang sedang melalui trauma dan waktu yang sukar," katanya.


Mohamad Norza berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini.


Kisona sebelum ini menjadi mangsa komen-komen berbaur perkauman di media sosial selepas perseorangan nombor 53 dunia itu tewas pada perseorangan nombor lima dunia Akane Yamaguchi dari Jepun pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman, bulan lepas di Vaanta, Finland.


Beliau dilaporkan berkata insiden berkenaan telah memberi kesan terhadap emosi dan prestasinya semasa persediaan menghadapi kejohanan Piala Uber, yang dianjurkan dalam bulan yang sama di Aarhus, Denmark.


Sementara itu, Mohamad Norza yakin pada keupayaan Kisona untuk mengatasi perkara itu dan optimis bahawa atlet dari Seremban itu akan mampu untuk bangkit dengan lebih bertenaga serta membawa semangat baharu.


Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata beliau percaya barisan skuad kebangsaan yang terdiri daripada pemain muda masih dalam kondisi terbaik untuk mengharungi tiga kejohanan berturut-turut di Bali, Indonesia, meskipun telah menjalani jadual perlawanan yang ketat di Eropah sejak September.


Di Bali, pasukan negara akan memulakan cabaran mereka di Kejohanan Masters Indonesia (16-21 Nov) diikuti kejohanan Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada 1 hingga 5 Dis.


"Kami mengikuti perkembangan pemain dan mereka semua dalam keadaan yang baik. Saya berpendapat semua pemain memahami akan tanggungjawab masing-masing dan harap mereka dapat memberikan persembahan yang terbaik kerana ini adalah kejohanan tahap tinggi," katanya.


Sementara itu, Mohamad Norza turut mengumumkan bahawa Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Penaung BAM yang baharu menggantikan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meletakkan jawatan secara rasmi minggu lepas.