top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Banjir di Shah Alam ragut 12 nyawa setakat ini

22 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Banjir di Shah Alam telah meragut 12 nyawa sehingga kini.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata empat lagi mayat, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan, ditemui di Taman Sri Muda hari ini.


Identiti mereka masih belum dapat dipastikan.


“Kematian terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan.


“Semua mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” kata Baharudin malam ini.


Secara berasingan, Baharudin berkata 31 warga asing telah ditahan kerana didakwa menceroboh Mydin Mart semalam.


Jabatan Siasatan Jenayah telah menahan 10 warga Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima warga Myanmar.


Mereka disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Baharudin berkata, pasukan pencegahan jenayah telah dikerahkan ke kawasan yang dilanda banjir dan operasi diketuai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan.


"Rakyat dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri. Polis akan bertindak tegas terhadap jenayah," katanya.


Sementara itu, Baharudin berkata 3,982 mangsa ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara.


Dua pos kawalan polis di tempat kejadian telah dibuka di Taman Sri Muda dan Taman Kemuning Utama, katanya.


Dua khemah telah didirikan untuk menyalurkan bantuan makanan, pakaian terpakai dan keperluan harian kepada mangsa banjir.

bottom of page