• Nihaba

Banjir: Lebih 700 Pemborong, Peruncit Simpan Tambahan Bekalan Makanan, Keperluan Asas

31 Oktober

KUALA BERANG- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik 731 peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara untuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.


Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata jumlah itu melibatkan 428 peruncit, 299 pemborong dan empat pengilang yang akan menyimpan tambahan 30 peratus kuota bekalan makanan dan keperluan asas mereka.


“Kita memang selalu peka dengan keadaan musim monsun (Monsun Timur Laut) yang menyebabkan bencana banjir terutama di Pantai Timur pada hujung tahun.

“Jadi dengan tambahan kuota bekalan makanan dan keperluan asas yang diberikan kepada peruncit, pemborong dan pengilang terpilih ini kita jamin bekalan akan mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini semalam.


Menurut beliau daripada jumlah itu sebanyak 352 pemborong dan peruncit adalah di Terengganu, Kelantan dan Pahang memandangkan negeri-negeri Pantai Timur kebiasaannya yang paling terjejas dilanda banjir.


Rosol berkata selain KPDNHEP, pihak berwajib di setiap kawasan termasuk majlis daerah akan turut memainkan peranan memastikan semua mangsa banjir tidak terputus bekalan makanan dan keperluan asas.