top of page
  • Writer's pictureNihaba

Banjir: Sesi Persekolahan Ditangguh Seminggu

24 Disember 2021

KUALA LUMPUR– Pembukaan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan seminggu susulan bencana banjir di beberapa buah negeri. Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tarikh baharu pembukaan sekolah bagi negeri-negeri kumpulan A ditetapkan pada 9 Januari ini manakala kumpulan B pula pada 10 Januari. Beliau berkata, keputusan itu buat selepas mengambil kira perkembangan terkini situasi bencana banjir di beberapa buah negeri. “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat cakna dan prihatin terhadap kebajikan guru, murid dan ibu bapa yang terkesan dengan situasi banjir semasa. Kita fahami bahawa mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum dapat memulakan sesi persekolahan. “Kita juga doakan yang terbaik untuk mangsa banjir di seluruh negara dan sebarang keputusan yang dibuat, kita komited mengambil berat kebajikan guru, murid dan ibu bapa,” katanya menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau difahamkan, ada sekolah yang terjejas teruk akibat banjir termasuk ada sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 dijadual bermula pada 2 Januari hingga 20 Mac tahun hadapan bagi sekolah di negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, ia dijadual bermula pada 3 Januari hingga 20 Mac 2022.

bottom of page