top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Bantuan tambahan RM2.8 juta kepada pesawah terkesan banjir di Yan, Kuala Muda

31 Ogos 2021

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM2.8 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada para pesawah yang terkesan akibat bencana alam yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.


Beliau berkata, kadar bantuan yang diberikan itu adalah sebanyak RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum sebanyak tiga hektar.


“Penilaian bagi pesawah yang terlibat akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ronald berkata, beliau dimaklumkan kira-kira 34.2 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Boi, Yan yang berusia antara 75 hingga 105 hari di bawah seliaan MADA telah terjejas.


Tambahnya, kawasan luar jelapang yang terkesan adalah di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok seluas 18.4 hektar yang berusia antara 95 hingga 105 hari.


“Manakala, kawasan di bawah seliaan Jabatan Pertanian pula melibatkan 15,759 hektar yang berusia antara 95 hingga 110 hari.


“Ini menjadikan keseluruhan keluasan yang terlibat adalah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian,” katanya.


Jelasnya lagi, kejadian banjir baru-baru ini mengakibatkan hasil padi tidak dapat dituai sepenuhnya disebabkan oleh kejadian padi rebah selepas air banjir surut daripada kawasan sawah padi.


“Malah, kualiti padi yang dituai juga akan terkesan dan seterusnya menjejaskan pendapatan pesawah yang terlibat.


“Selain itu, kementerian juga akan memperuntukkan bantuan lain daripada Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi golongan sasar dalam meneruskan kelangsungan hidup memandangkan pendapatan mereka terjejas,” katanya.


Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk tabung berkenaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat daripada bencana alam.


Sehingga 30 Ogos 2021, MAFI telah menyalurkan sejumlah RM4.34 juta kepada golongan sasar yang terjejas akibat bencana alam daripada tabung ini.


Pada masa yang sama, bagi membantu meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana ini MAFI juga telah menggerakkan bantuan Bakul Makanan melalui inisiatif MAFI Prihatin.

bottom of page