• zaman

Banyakkan tayangan filem sejarah, patriotik sempena bulan kemerdekaan


KETIKA artikel ini ditulis, kutipan tiket filem Mat Kilau telah menjangkau RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan, bermula 23 Jun 2022 yang lalu. Ini merupakan satu pencapaian yang mengagumkan bagi sebuah filem produksi tempatan. Jika dilihat data yang dikongsikan di laman web Finas daripada tahun 2011 sehingga September 2019, hanya 15 buah filem daripada lebih 400 buah filem yang ditayangkan berjaya mencatat kutipan lebih RM10 juta.Lebih membanggakan apabila ia berjaya mengalahkan dua filem box office produksi Hollywood iaitu Top Gun: Maverick dan Jurassic World Dominion. Jumlah kutipan tiket dijangka bertambah apabila Filem Mat Kilau ini akan mula ditayangkan di Indonesia tidak lama lagi.


Berdasarkan kepada sambutan hangat daripada penonton, filem ini telah berjaya mengangkat industri perfileman negara yang malap dan sarat dengan naratif cinta yang lebih kepada unsur-unsur negatif seperti curang, kehidupan sosial yang teruk, hasad dengki dan cantas-mencantas kepada naratif perjuangan kerana cintakan tanah air. Mungkin orang ramai sudah muak dengan filem tempatan yang tidak mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang masih kuat pegangan agama dan menjunjung tinggi nilai-nilai ketimuran.


Selain itu, ketandusan filem genre epik atau sejarah tempatan telah menyebabkan penonton beralih arah kepada filem daripada luar seperti Dirilis Ertugrul, Fetih 1453, dan sebagainya. Oleh itu, apabila filem Mat Kilau ditayangkan, penonton dengan mudah menerimanya. Malah, ada yang tidak pernah menjejakan kaki ke pawagam pun sanggup memecah ‘tradisi’ semata-mata ingin menonton filem Mat Kilau.

Walau bagaimanapun, impak yang lebih penting daripada filem Mat Kilau ini ialah berjaya membangkit kembali semangat kepahlawanan pahlawan Melayu dalam usaha membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Sebagaimana yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Zahidi Zainul Abidin: " Mesej yang dibawa dalam filem Mat Kilau membawa makna yang besar tentang kesusahan para pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah”.


Generasi hari ini harus sedar bahawa hasil perjuangan daripada generasi terdahulu seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Hj Abdul Rahman Limbong dan lain-lain, telah memberi tekanan kepada pihak penjajah secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha membebaskan tanah air apabila tentangan mereka berjaya membangkit kesedaran dalam kalangan orang ramai. Malah, Inggeris terpaksa memperuntukkan sejumlah kewangan yang besar dalam usaha mengekang dan menangkap pejuang-pejuang yang dilabelkan sebagai ‘pemberontak’.


Apabila penentangan secara bersenjata berjaya dikekang oleh Inggeris, para pejuang terus meniup api kemerdekaan dalam pelbagai bentuk seperti melalui pertubuhan, penulisan, media, persatuan dan politik. Umpamanya, Sheikh Daud alFathani telah mengarang beberapa buah kitab yang membangkitkan semangat jihad menentang penjajah. Sementara,

kemunculan majalah al-Imam pada 1906 umpama ‘tonik’ yang merangsang minda orang-orang Melayu menuntut kemerdekaan. Sedar akan kebangkitan tersebut, pihak penjajah mula menggunakan dasar pecah dan perintah; mengaitkan pertubuhan-pertubuhan tertentu dengan label kiri dan kanan. Mana-mana kumpulan atau pertubuhan yang dirasakan menjejas kepentingan penjajah maka ia dilabelkan sebagai haluan kiri dan diharamkan. Manakala, untuk mengendurkan kemarahan dan mengelabui mata orang ramai, pihak penjajah menjalankan dasar berbaik-baik dengan pertubuhan yang dilabelkan sebagai haluan kanan yang dianggap lunak kepada penjajah.


Di sinilah letaknya kebijaksanaan leluhur kita dalam usaha memerdekakan tanah air. Walaupun berbeza wadah, tetapi inilah strategi paling ampuh ketika menghadapi musuh yang kuat dan sukar dikalahkan seperti Kolonial British ini. Maka, ada yang berjuang dalam pertubuhan yang dilabelkan Haluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin dan sebagainya. Manakala, sebahagiannya lagi berjuang bersama pertubuhan yang dilabelkan Haluan kanan seperti UMNO, IMP dan sebagainya. Namun, matlamat utamanya adalah sama iaitu memerdekakan tanah air. Akhirnya, dengan kebijaksanaan tersebut, negara telah berjaya dimerdekakan pada 31 ogos 1957. Pada tahun 2022 ini, usia kemerdekaan negara telah mencecah ke angka 65 tahun. Usia yang masih muda kepada sesebuah negara. Namun, dalam tempoh tersebut, banyak kejayaan yang telah dikecapi. Umpamanya, jika sebelum kemerdekaan, semua dasar yang dibuat bertujuan melindungi kepentingan ekonomi British. Tetapi, selepas kemerdekaan, dasar-dasar yang menguntungkan rakyat dan mengurangkan jurang ekonomi telah diperkenalkan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara dan sebagainya. Begitu juga kemajuan telah banyak dicapai dalam sector-sektor yang lain seperti pendidikan, infrastruktur dan sebagainya.


Persoalannya apakah makna kemerdekaan yang sebenarnya? Apakah indikator sebagai rakyat yang merdeka? Dalam hal ini marilah kita hayati kata-kata Pendeta Za’ba tentang kemerdekaan, iaitu: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”


Hayatilah kata-kata Pendeta Za’ba supaya kemerdekaan itu dapat diisi dengan sesuatu yang lebih bererti. Justeru, sempena sambutan bulan kemerdekaan ini, marilah kita sambut dengan penuh rasa syukur, bahagia dan gembira dengan mengibarkan jalur gemilang di rumah-rumah, premis perniagaan dan sebagainya. Selain itu, aktiviti lain yang boleh dianjurkan ialah: • Mengadakan majlis pengkisahan tentang perjuangan kemerdekaan • Mengadakan tahlil dan bacaan yasin di masjid-masjid dan surau • Menganugerahkan bintang kebesaran kepada tokoh-tokoh pejuang secara anumerta, dan • Membanyakkan tayangan filem sejarah dan patriotik di saluran TV dan pawagam


Akhir kalam, tahniah kepada penerbit, pengarah, barisan pelakon dan krew kerana berjaya menghasilkan filem yang menjadi fenomena dalam membangkit kesedaran anak muda mengenai perjuangan menentang penjajah sehingga menyumbang kepada kemerdekaan negara. Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, menganggap Filem Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan sesuai dijadikan contoh dalam industri perfileman.


Justeru, dicadangkan supaya pihak kerajaan dalam pembentangan bajet 2023 nanti menyediakan insentif yang menarik bagi menggalakkan pemain industri kreatif menghasilkan lebih banyak filem-filem bergenre sejarah dan patriotik untuk tayangan di saluran TV dan pawagam khususnya pada bulan kemerdekaan.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan di Seksyen Pembangunan Pelajar, UniKL MICET

Astro Awani