• newsatmy

‘Bekerja Kuat Dengan Ikhlas Untuk Memenangi Hati Rakyat’


IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan keyakinan pucuk kepemimpinan dengan gerak kerja ahli-ahli BERSATU yang sentiasa bekerja kuat bagi memenangi hati rakyat.


Malah kata beliau, jumlah keahlian BERSATU juga kian bertambah dan perkembangan itu amat cukup baik untuk parti.


Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, walaupun parti kini menampakkan perkembangan positif, namun usaha-usaha berterusan perlu dibuat untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang ada.


“Mana-mana kelemahan yang ada perlu diperbaiki, jangan kita rasa sudah puas hati dengan perkembangan yang ada,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program Dialog Penerangan BERSATU Malaysia bagi Negeri Perak di sini.


Beliau seterusnya menggesa setiap ahli BERSATU supaya bekerja dengan ikhlas demi agama, rakyat, negara dan parti.


“Bekerjalah dengan keikhlasan hati kerana ia akan menentukan kekuatan parti,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, apabila ahli-ahli BERSATU berhadapan dengan rakyat, jagalah imej diri dan parti.


“Penting untuk kita jaga imej Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana diri kita membawa imej parti dan diri sendiri,” katanya.