Beli pacuan empat roda demi bantu mangsa banjir
29 Sept
Terkilan tidak dapat menyampaikan bantuan segera kepada mangsa banjir tahun lalu, pelakon Fikry Ibrahim membeli sebuah pacuan empat roda bagi memudahkan kerja-kerja bantuan dilakukan kelak.
"Tahun lepas saya juga ada buat usaha membantu mangsa banjir secara kecil-kecilan. Namun saya masih ingat apabila kami tidak boleh masuk ke sebuah kawasan banjir disebabkan masalah kenderaan yang dinaiki.
"Jadi sebagai usaha dan tanggungjawab tahun ini, saya beli sebuah kereta. Kalau nak beli untuk kegunaan sendiri memang fikir dua tiga kali. Tetapi untuk misi bantuan ini saya nekad untuk memiliki kereta baru," katanya kepada mStar.
Meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat menyampaikan bantuan segera tahun lalu, kali ini Fikry membuat persiapan awal.
Malah, dia bersama beberapa rakan-rakan lain siap siaga untuk turun padang di mana-mana kawasan terjejas jika diperlukan.
"Sebelum ini apabila tidak dapat sampai ke tempat terjejas dengan segera memang buatkan saya rasa terkilan kerana hanya boleh memandang mangsa banjir dari jauh sahaja.
"Kali ini saya bersama rakan-rakan lebih bersistematik supaya tidak kalut untuk memberi bantuan. Segala kelengkapan dan keperluan sudah kami siapkan.
"Memanglah kita berharap bencana banjir ini tidak akan berlaku namun semua itu adalah ketentuan Allah," ujarnya.
Dalam masa sama, Fikry akan sentiasa mengikuti perkembangan mangsa banjir menerusi makluman orang awam yang terjejas.
"Disebabkan kami buat secara sendiri tanpa terlibat dengan mana-mana organisasi, jadi orang awam adalah sumber terpenting untuk kami dapatkan maklumat.
"Bagaimanapun semua info yang diberi haruslah ditapis dahulu supaya tidak ada bantuan berlebihan," jelasnya.
Sumber: mStar
Comments