top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Belia, Mahasiswa perlu diberi panduan realiti keperluan alam pekerjaan

19 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Golongan belia dan mahasiswa perlu diberi panduan serta tunjuk ajar yang betul selaras dengan keperluan dunia agar mereka lebih bersedia tentang realiti sebenar mengenai alam pekerjaan.


Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata ini kerana satu daripada enam siswazah pada hari ini hanya mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian atau selepas graduasi.


“Majikan tidak lagi bergantung hanya kepada kelulusan semata-mata malah kebanyakan majikan sekarang melihat pada apa para pelajar atau siswazah boleh menyumbang kepada masyarakat. Apakah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan menerapkan pembangunan kemahiran sebagai teras dalam melahirkan pelajar berkemahiran tinggi secara holistik.


“Sekarang kita lihat majikan seperti Google sudah mula menyediakan bidang pengajian tersendiri yang sudah pasti selari dengan keperluan industri dan dunia,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada Isnin.


Beliau berkata golongan belia harus dilengkapkan dengan kemahiran boleh dipindah milik yang membolehkan mereka menjadi fleksibel dan berdaya inovatif terutamanya dalam keadaan sekarang.


Selain itu, Jaziri Alkaf berkata daya tahan golongan belia juga harus dipertingkat dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran baharu melibatkan teknologi yang pelbagai bagi mewujudkan daya saing tinggi.


Beliau berkata semua kemahiran itu dilihat dapat membantu mengurangkan jurang kebolehpasaran mahasiswa dan belia di negara ini apabila memasuki alam pekerjaan selain mampu menjadi kayu ukur dalam penilaian kenaikan pangkat dan gaji mereka.


Menurutnya, penerapan siswazah ke dalam pekerjaan secepat mungkin atau sejurus selepas graduasi bukan sahaja dapat menyumbang kepada meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara malah mengurangkan pengangguran belia sekali gus menyumbang kepada pelan pemulihan ekonomi.


Sementara itu, Senator Khairil Nizam Khirudin ketika membahaskan RMK12 berkata kerajaan perlu memberi fokus kepada kebolehpasaran siswazah dan ketidakpadanan pekerjaan kerana itu antara cabaran pasca-COVID-19.


Beliau mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia mengadakan kerjasama dengan KPT dan pihak industri untuk melihat jumlah tenaga sumber manusia diperlukan oleh industri serta bagaimana silibus pelajaran di universiti dan kolej mampu memanfaatkan negara melalui siswazah dihasilkan.


“Begitu juga dalam kita mewujudkan Dasar Pendidikan Tinggi Belia, kita melihat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebanyak RM28 bilion diperuntukkan bagi membiayai pengajian untuk menyambung pelajaran di peringkat tertinggi seperti ijazah sarjana dan juga ijazah kedoktoran.


“Melalui peruntukan ini Malaysia pada ketika itu menyasarkan lebih 60,000 pemegang ijazah kedoktoran dalam warganegara menjelang 2023. Sasaran ini dimuatkan dalam Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Namun begitu kita lihat kesuraman dalam program MyBrain, MyMaster dan MyPhD yang semakin dilupakan.


“Saya mohon maklum balas KPT untuk melihat lebih mendalam perkara ini kerana kita mahukan lebih ramai pemuda mendapat ijazah kedoktoran termasuklah para pemuda dan pemudi Orang Asli,” katanya.

bottom of page