top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Bendera, bahan kempen Perikatan Nasional dirosakkan

14 NOVEMBER 2021

MELAKA: Bendera, bahan kempen Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka didakwa dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.


Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu setelah dimaklumkan oleh petugas, semalam.


Katanya, kejadian yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksama itu amat mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku.


“Saya menerima aduan daripada petugas kami mengenai kerosakan poster-poster, kain rentang dan tiang bendera Perikatan Nasional di DUN Kota Laksamana.


“Saya telah mengarahkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional menyiasat jika ada kerosakan di DUN lain,” katanya melalui hantaran di Facebook.


Menurut Wan Saiful, kini, jentera Perikatan Nasional sedang memeriksa untuk memastikan jika kerosakan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Katanya, laporan akan dibuat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat unsur samseng dalam kempen pada PRN Melaka ini.


“Saya menyeru supaya kita berkempen dengan cara yang baik. Janganlah sehingga merosakkan bahan kempen parti lain.


“Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta merta dan dipadam daripada lanskap politik negara,” katanya.

bottom of page