top of page
  • newsatmy

Berdepan Tindakan Disiplin Termasuk Keahlian Terhenti Serta-Merta, Wan Saiful Ulas Ali Biju Tanding

7 Disember 2021

KUALA LUMPUR — Perlembagaan BERSATU jelas menyatakan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berdepan tindakan disiplin termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.


Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini membuat pengumuman rasmi bahawa parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan akan membantu memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Wan Saiful berkata demikian sebagai mengulas keputusan Ali Biju yang juga ahli parti itu bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini.


“Saya menyeru semua ahli BERSATU untuk sama-sama berganding bahu memastikan kemenangan besar buat rakan kita GPS dalam PRN ini. Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ali, yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli mempertahankan kerusi DUN Krian ketika hadir di pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian pagi tadi sebagai calon bebas menggunakan logo kerusi.


Beliau hadir pada 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

bottom of page