• Arissa Azman

Beri kritikan membina dengan sopan, MP Pembangkang perlu contohi Saifuddin dan Ong

29 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan memuji sumbangan idea yang dilontarkan dua ahli Parlimen pembangkang, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, yang membahaskan isu vaksinasi pada Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.


Wan Saiful berkata kedua-dua mereka cuba menggunakan peluang sidang Parlimen untuk memberi kritikan membina dengan cara yang beradab dan sopan, sesuai dengan kedudukan Dewan Rakyat sebagai dewan yang mulia.


Ini kerana, katanya, persidangan khas kali ini dilihat ada sedikit pembaikan dari segi penglibatan ahli Parlimen pembangkang, walaupun masih ada beberapa wakil rakyat yang terjerit-jerit tidak mengikut tempat.


“YB Saifuddin Nasution membawa pandangan kritikal dengan intonasi yang tenang. Walaupun diganggu oleh ahli parlimen pembangkang sendiri yang mencelah, tetapi beliau tetap meneruskan ucapan dengan bersahaja.


“YB Dr Ong Kian Ming pula membawa idea baru yang menunjukkan betapa beliau cuba meletakkan kepentingan negara di hadapan. Beliau juga bercakap dengan tenang dan baik. Saya suka dengan idea “moratorium politik” yang beliau bawa.


“Jika ahli parlimen pembangkang lain boleh mencontohi gaya mereka berdua, saya yakin Parlimen kita akan lebih dihormati.


“Malangnya rekod Pakatan Harapan dari dulu hingga sekarang menunjukkan bahawa anggota parlimen mereka yang profesional seperti itu amat kurang. Lebih ramai yang mahu membantah dan menjerit di semua tempat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Memasuki hari ketiga Sidang Khas Dewan Rakyat, perjalanan persidangan lebih tenang berbanding hari sebelumnya dengan 23 Ahli Parlimen yang terdiri daripada 10 daripada pihak kerajaan, 11 pembangkang dan dua Bebas mengambil bahagian pada sesi perbahasan.


Antara yang menjadi fokus hari ini adalah isu kadar vaksinasi dan isu proses rundingan serta perolehan vaksin COVID-19.


Sidang khas dimulakan dengan penerangan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang berkata program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.


Kebanyakan ahli Parlimen turut memuji langkah kerajaan mempertingkat kadar vaksinasi sehingga lebih 500,000 dos suntikan sehari kini namun mempersoal kelewatan negara mendapatkan perolehan vaksin berbanding negara lain.



--PN Online